Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan terdapat satu kematian dan satu kes positif baharu COVID-19.

Dengan itu, secara keseluruhan, Sarawak kini mencatatkan 19 kes bagi kematian, manakala jumlah kumulatif kes positif negeri itu adalah 650 kes.

Berikut merupakan lima tumpuan dalam kenyataan JPBN Sarawak pada Ahad:

1. Satu kematian baharu melibatkan COVID-19 pada Ahad direkodkan. Mangsa merupakan seorang wanita tempatan berumur 63 tahun dari Samariang Baru, Kuching. Kes kematian ini adalah yang ke-19 di negeri ini.

2. Satu kes positif baharu COVID-19 dilaporkan di daerah Kuching menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 650 kes.

3. Kes yang dilaporkan pada Ahad melibatkan individu daripada pengesanan kontak yang masih aktif iaitu Kluster Sentosa. Keseluruhannya, sembilan kluster masih aktif di negeri ini.

4. Pertambahan kes baharu itu seterusnya menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang didapati positif COVID-19 dalam Kluster Sentosa kini adalah 21 kes.

5. JPBN Sarawak juga mengambil keputusan untuk mewajibkan mereka yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan untuk menjalani kuarantin di hotel sejurus tiba. Arahan ini berkuat kuasa dari 1 hingga 14 Ogos 2020.