Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kes kematian direkodkan akibat COVID-19 daripada kluster Sendayan, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian berlaku di sebuah pusat tahfiz di sana.

“Tindakan bersepadu oleh anggota kesihatan sedang dijalankan di lapangan dan semoga jangkitan dapat dikawal daripada terus merebak,” katanya menerusi Twitter beliau, pada Rabu.


BACA: Kluster baharu COVID-19 di Sendayan, Negeri Sembilan

Setakat 12 tengah hari Selasa, KKM memaklumkan sebanyak 39 kes positif COVID-19 dikesan di kawasan tersebut, yang merupakan kluster terbaharu.

Daripada jumlah tersebut, 13 pelajar tahfiz disahkan positif COVID-19; ahli lembaga pengarah sebuah syarikat (15) ; dan 11 kes melibatkan sebuah keluarga.