Susulan kejadian seorang kanak-kanak disahkan positif dijangkiti virus rabies semalam, satu lagi kawasan diisytihar sebagai kawasan wabak rabies di Sarawak hari ini, menjadikan jumlahnya kini kepada 23.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBNS) Sarawak dalam satu kenyataan berkata Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi jawatankuasa itu Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini mengisytiharkan Kampung Kuala, di bahagian Serian sebagai kawasan terbaru wabak rabies.

Menurutnya sehingga kini bahagian Serian mencatatkan 19 kawasan diisytihar sebagai kawasan wabak rabies, manakala tiga lagi kawasan adalah di bahagian Kuching, dan satu di bahagian Sri Aman.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah mengumumkan satu lagi kes positif virus rabies yang membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dari Kampung Kuala, Serian, yang mempunyai sejarah digigit anjing pada 17 Jun lalu, dan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak itu kini berada dalam keadaan kritikal.

Ia menjadikan sehingga kini enam kes positif virus rabies telah dikesan di Sarawak sejak Jun lepas, dengan lima daripada penghidapnya telah meninggal dunia.

Dalam kenyataan hari ini JBNS berkata susulan itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah menghantar dua kumpulan survelan ke Kampung Kuala, di Serian bagi menyiasat dan membuat persampelan.

JBNS berkata 504 ekor anjing telah divaksin - 74 di bahagian Serian; 430 di 11 kampung di daerah Lundu, menjadikan jumlah haiwan kesayangan yang telah divaksin hingga hari ini adalah 29,098 ekor yang terdiri daripada 21,456 anjing, 7,597 kucing dan 45 lain-lain haiwan peliharaan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat serta aktiviti operasi pemvaksinan wabak Rabies boleh melayari portal JPBN di alamat www.infodisaster.sarawak.gov.my.

-- BERNAMA