Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan telah mengenalpasti satu lagi komplikasi yang terpaksa dihadapi oleh pesakit yang sembuh daripada jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdulllah berkata, ketahanan tubuh pesakit adalah tidak kekal selepas tiga bulan mereka sembuh, di mana Immunoglobulin G (IgG) dan Immunoglobulin M (IgM) akan berkurangan.

Ini sekali gus, kata beliau, menyebabkan bekas pesakit-pesakit berkenaan mudah terdedah kepada jangkitan lain.

“Jadi mungkin ada kesan kepada imuniti individu tersebut.

“Kalau individu tersebut mempunyai imuniti yang rendah, (mereka) mudah untuk mendapat jangkitan kuman bukan hanya COVID-19, tetapi kuman lain,” katanya dalam sidang media hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, KKM ketika ini sedang memberi tumpuan kepada rawatan susulan dan pemantauan terhadap pesaki-pesakit yang telah sembuh terutamanya bagi kategori empat dan lima.

“Mereka sedang dalam proses untuk kita lihat kesan sampingan jangka panjang, yang itu kita sedang laksanakan,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan seramai 45 pesakit COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj setakat Rabu, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya di negara ini adalah 8,231 kes atau 95.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebelum ini, KKM turut memaklumkan tidak bercadang untuk meneruskan rawatan dan kajian saintifik menggunakan hydroxychloroquine ke atas pesakit COVID-19.

Ini berikutan ubat yang biasa digunakan untuk merawat malaria itu mengakibatkan komplikasi kesihatan kepada pesakit.