IPOH:Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Lope Nor Rashid di Tanjung Piandang, Parit Buntar ditutup selama tujuh hari mulai Selasa selepas terdapat kes jangkitan wabak COVID-19 di sekolah berkenaan.

Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata sekolah itu akan dibuka semula pada 27 Okt ini.

"Penutupan ini dibuat bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya dalam notis pemakluman penutupan sekolah yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Jabatan Pendidikan negeri Perak pada Selasa.

Penutupan terbaharu itu menjadikan lima sekolah yang ditutup setakat Selasa di Perak disebabkan terdapat jangkitan wabak COVID-19 membabitkan guru dan pelajar.

Empat sekolah lain ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Lekir Batu 8 di Sitiawan, Manjung yang ditutup tujuh hari sejak 14 Okt lepas manakala tiga sekolah lain yang ditutup tujuh hari bermula Isnin (19 Okt) adalah SK Tanah Kebun di Parit Buntar dan SK Klebang Jaya serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor, kedua-duanya di Ipoh.

 
Sumber Facebook PendidikanPerakOfficial

Sementara itu, Mohd Suhaimi dalam satu lagi notis terkini memaklumkan bahawa SMK Dato Haji Mohd Taib, Chemor di sini telah diarah tutup selama tujuh hari mulai hari ini (21 Okt) selepas terdapat kes jangkitan wabak COVID-19 di premis berkenaan.

Katanya penutupan sekolah yang keenam di Perak itu bertujuan membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA