Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyifatkan pelantikan beliau sebagai Menteri Pengangkutan sebagai satu penghargaan dan kepercayaan kepada MCA.

Presiden MCA itu turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan cadangan senarai nama Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wee menerusi akaun Facebook rasminya turut berkata beliau berterima kasih kepada Muhyiddin kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan yang serba mencabar.

"Amanah dan tanggungjawab ini saya akan galas sebaik mungkin demi kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

"Ini juga merupakan satu penghargaan dan kepercayaan kepada parti MCA, barisan kepimpinan parti dan ahli-ahli MCA di seluruh negara. MCA sebagai sebuah parti berasaskan kaum Cina yang membela kepentingan semua rakyat Malaysia akan terus menyuntik nilai-nilai inklusif, kesederhanaan dan kepelbagaian," katanya.

BACA: Mufti, Ketua Pegawai Eksekutif antara individu dilantik senator

BACA: Zuraida sekali lagi terajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

BACA: Takiyuddin dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Beliau turut berharap dengan pembentukan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin, Malaysia akan kembali ke landasan yang betul dan tidak lagi terperangkap dengan konflik politik yang merugikan rakyat serta negara.

Berkebolehan bertutur dalam Bahasa Melayu dengan baik, Wee, 52, mula berkecimpung dalam arena politik sebagai ahli MCA pada 1992 dan pernah menjadi Timbalan Menteri Pendidikan 1 pada 2008 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2014.

Keperibadian Wee sebagai ahli politik turut menambat hati penduduk di kawasan Ayer Hitam, Johor apabila beliau mampu mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal sejak Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

-- BERNAMA