Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan, beliau mempunyai agenda lebih penting dalam memacu pembangunan Sabah daripada melayan dakwaan sesetengah pemimpin pembangkang terhadapnya.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, kenyataan Sabah bakal berdepan kebanjiran pendatang yang memiliki permit kerja dan pas pengeluaran kad Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13) disifatkan berbaur perkauman semata-mata.

Malah, tegasnya, kenyataan itu juga dilihat mahu menjatuhkan kerajaan baharu sekali gus berniat untuk merosakkan reputasi kepimpinan beliau.

"Saya tidak akan balas dakwaan itu. Tiada apa yang perlu dibalas. Adakah kamu terfikir bahawa dakwaan itu hanya bersifat perkauman?.

"Banyak lagi isu penting perlu saya lakukan untuk mentadbir negeri ini dengan menolong fakir miskin dan membangunkan negeri ini daripada melayan kenyataan remeh itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pelancaran Majlis Ru'yah Hilal Rasmi Ramadhan di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, hari ini.

Terdahulu, Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan telah mengeluarkan kenyataan bahawa kemenangan Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah berita baik buat pendatang haram di Sabah.

Jeffrey mendakwa bahawa pentabiran Warisan mampu memudahkan lagi laluan kemasukkan pendatang haram untuk mendapat permit kerja serta kad pengenalan diri (Mykad).

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyifatkan Majlis Ru'yah Hilal Rasmi Ramadhan mampu menjadi platfrom sebagai jambatan penyatuan umat Islam di negeri ini.

Katanya, majlis yang bertujuan untuk melihat anak bulan sebagai permulaan tahun baru bagi umat Islam mampu mengukuhkan lagi silaturrahim sesama umat.

"Ini merupakan satu amalan yg dituntut dalam Agama Islam supaya kita dapat membimbing umat di jalan yang betul," katanya.