Amirul Ameer Azmi, sepupu kepada Muhammad Adib Mohd Kassim berjanji, sebagai anggota bomba beliau akan terus membantu dan berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Amirul Ameer yang juga pegawai bomba bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan menceritakan detik dia bersama Allahyarham Muhammad Adib.

Katanya, Allahyarham banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya untuk meneruskan karier sebagai anggota bomba.

BACA: 'Makcik nak tengok muka siapa yang buat Adib'- Ibu

BACA: Kronologi hari-hari terakhir Muhammad Adib

Malah, katanya Allahyarham banyak berkongsi mengenai kerjaya bomba disebabkan sudah empat tahun bertugas sebagai pasukan penyelamat di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Selangor.


Muhammad Adib perwira yang menjadi kebanggaan negara menghembuskan nafas terakhir pada 9.41 malam tadi selepas bertarung nyawa hampir tiga minggu di Institut Jantung Negara (IJN).

BACA: Muhammad Adib meninggal dunia

Allahyarham dirawat di IJN akibat dipukul perusuh dalam kejadian di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, bulan lalu.

Jenazah Allahyarham telah diterbangkan ke kampung halaman, Kampung Tebengau, Kuala Kedah dari Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang, pada pukul 8.50 pagi Selasa dan tiba di Kuala Kedah pada pukul 10.30 pagi.