Seorang anak jati Banting, Selangor memohon agar kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya segera menyelesaikan urusan pemberian kad pengenalan (MyKad).

Ganesan, 37 tahun, mendakwa kini hidupnya seperti pendatang asing tanpa izin (PATI) di tanah kelahiran sendiri apabila tidak mempunyai MyKad.

"Saya sudah ulang-alik banyak kali untuk selesaikan isu ini. Saya lahir di sini, tetapi mengapa proses untuk mendapatkan MyKad sangat susah? Saya kini sedang menunggu surat kelahiran ibu saya dari sebuah hospital selama tiga bulan. Menurut JPN, hanya dengan dokumen itu mereka boleh mengambil langkah seterusnya.

"Tanpa MyKad, saya tidak boleh mendapatkan pekerjaan baharu. Isteri saya yang menanggung segala beban, Susah hati saya dibuatnya," luah Ganesan ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.

Jelas pekerja ladang kelapa sawit di Banting itu, dia sukar untuk mengubah nasib hidup gara-gara tidak mempunyai MyKad

Dia yang kini bekerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan RM25 sehari meluahkan kesusahan hidup menanggung keluarganya.

Bukan tidak mahu berusaha mencari kerja yang lebih baik, Ganesan memberitahu dia seolah-olah putus harapan apabila permohonan mencari kerja lain dengan gaji yang lebih tinggi sering ditolak atas alasan tidak memiliki MyKad.

"Semua perkara perlu ada MyKad. Saya cuba mahu cari kerja dengan bayaran yang lebih tinggi sedikit pun susah. Mereka tolak (permohonan kerja) sebab saya tidak memiliki MyKad

"Saya betul-betul mengharap bantuan kerajaan atau pihak JPN bagi menyelesaikan masalah ini. Sekarang dengan pendapatan sedikit, kami sekeluarga hidup dalam kesempitan.

"Ia ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang," katanya.

Nasib sama turut menimpa isterinya, Kanchana, 39 tahun apabila permohonan untuk mencari kerja dengan bayaran yang lebih tinggi turut ditolak atas alasan suaminya tidak mempunyai MyKad.

"Dia (isteri) cuba mendapatkan kerja yang membayar gaji yang lebih tinggi tetapi disebabkan saya tidak mempunyai MyKad, permohonan ditolak," katanya.