Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin mengulangi kenyataan tulisan beliau dalam kolum sebuah akhbar yang menyentuh Bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie, berniat baik.

Beliau juga menegaskan tulisan tersebut sekadar mahu menyampaikan mesej rakyat Malaysia, yang tersinggung dengan tindakan Habibie, bertemu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan memberi sokongan moral.

Menurut Zainudin, kunjungan tersebut adalah tidak wajar memandangkan Anwar disifatkan musuh negara, kerana telah mengkhianati parti.

Zainudin berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan perkara itu dibangkitkan pada rundingan tahunan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Secara peribadi, beliau memaklumkan, beliau tetap menghormati Indonesia sebagai antara saudara serumpun.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya akan menunggu hasil pertemuan kedua-dua pemimpin terdahulu.

Susilo dalam satu temubual dengan Detik Dot Kom mengakui terganggu dengan tulisan Bekas Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin yang menyifatkan Habibie khianat kepada Indonesia dan jadi alat penjajah.