Penduduk kondominium Tiara Faber di Taman Desa di sini menyifatkan kejadian kren tumbang sehingga memasuki kawasan parkir kawasan perumahan mereka ibarat satu mimpi ngeri yang akhirnya menjadi kenyataan.

Walaupun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian pada Selasa itu, rata-rata penduduk kawasan itu telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap projek pembinaan kondominium setinggi 44 tingkat itu mampu mengancam keselamatan mereka.

"Saya boleh lihat dari tingkap saya hayunan blok penyangkuk itu setiap hari.

"Tapak ini tidak sesuai untuk didirikan sebuah kondominium yang baharu kerana kepadatan penduduk di sini sangat tinggi.

"Projek ini juga bersebelahan dengan dua buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah, dan faktor keselematan perlu dipertimbangkan," kata penduduk Tiara Faber, Jolene Ban.

rata-rata penduduk kawasan itu telah lama menyuarakan kebimbangan terhadap projek pembinaan kondominium setinggi 44 tingkat itu mampu mengancam keselamatan mereka. - Foto pembaca Astro AWANI
Menurut seorang lagi penduduk, Valerie Low berkata projek pembinaan yang bermula sejak November lalu telah memberi kesan dan menjejaskan kualiti kehidupan mereka.

"Pembinaan dilakukan dari jam 7 pagi hingga 7 malam, untuk enam hari seminggu. Kadang kala ia berlarutan selepas 8 malam.

"Pencemaran bunyi ini telah menganggu kehidupan kami. Kami kurang berehat dan kami boleh rasa gegaran dari pembinaan ini.

"Kami telah membuat aduan kepada pihak DBKL dan pihak polis" kata Valarie.

Kejadian kren tumbang yang berlaku pada semalam itu telah merosakkan bilik pengudaraan kondominium Tiara Faber.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila kren tersebut sedang mengalihkan bongkah batu, sebelum tumbang ke perkarangan tempat letak kereta kondominium terbabit.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah mengarahkan kerja-kerja di tapak terbabit dihentikan serta merta . - Foto Astro AWANI
Kemalangan semakin kerap, perlukan perhatian segera - NIOSH

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan isu ini perlu diberi perhatian kerana kejadian seperti ini semakin kerap berlaku.

"Saya mengesyorkan pihak berkuasa untuk melaksanakan pemantauan dengan lebih kerap supaya pihak kontraktor dan juga penggendali tren lebih berhati-hati dan sentias mematuhi peraturan keselamatan," kata Lee Lam Thye.

Pada 2 Januari lalu, satu kejadian kren tumbang di sebuah tapak pembinaan di Shah Alam telah mengorbankan seorang pekerja asing.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah mengarahkan kerja-kerja di tapak terbabit dihentikan serta merta supaya siasatan dapat dijalankan.