Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan sama ada pengumuman jajaran projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) Jumaat lalu membabitkan Negeri Sembilan sebagai taktik meraih undi atau sebaliknya.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, sekiranya perkara itu menjadi isu di muka pengadilan, mereka perlu membuktikan atau membuat justifikasi bahawa aktiviti itu bukan untuk meraih undi.

“Mereka perlu buktikan kalau ia semata-mata aktiviti kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan untuk kepentingan orang ramai dan bukan pengundi di situ.

“Kalau ada masalah difikirkan tidak sesuai, kuasa di tangan pengundi. Sesiapa yang mempunyai informasi, sila buat laporan. Saya dah katakan benda itu daripada hari pertama saya bekerja.

“Saya bukan hakim. Saya bukan juri. Saya tak ada kuasa siasatan. Kena faham. Saya tak boleh buat sewenang-wenangnya,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas melawat Balai Polis Rantau pada proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

Terdahulu, pada Jumaat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam ceramahnya di Rantau mendakwa jajaran ECRL akan diubah ke Negeri Sembilan.

Kenyataan beliau sekali gus disifatkan orang ramai sebagai taktik untuk mendapatkan sokongan pengundi di DUN Rantau susulan pengumuman itu dibuat dalam tempoh berkempen.

Mengulas lanjut, Azhar menegaskan, umum perlu faham fungsi sebenar SPR yang bertujuan menganjur dan mengawal keadaan agar proses pengundian diadakan sehingga selesai.

“Bila perkara ini dibuat laporan dan disiasat dan kalau dibawa ke muka pengadilan, mahkamah akan memutuskan sama ada wajar atau tidak sama ada itu kesalahan pilihan raya atau tidak.

“Cuma mahkamah yang boleh kata... saya tak mahu pengaruhi pengundi, tetapi cuma saya boleh memberi nasihat.

“Nasihat saya ialah diharapkan tidak ada penyelewengan kuasa, penyalahgunaan kuasa baik dari kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri,” jelasnya.