"Saya bukan mahu mengemis, tetapi..." - Pengemis warga tempatan

"Saya bukan mahu mengemis, tetapi..." - Pengemis warga tempatan
Operasi membabitkan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam, Imigresen Kelantan, JAHEAIK dan JKM. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: "Elaun bulanan yang diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan tidak cukup untuk menampung kos hidup menyebabkan saya terpaksa menjual tisu sebagai sumber pendapatan,"kata pengemis warga tempatan, Rahimin Abdul Rahman, 49.

Menurut Rahimin yang orang kurang upaya (OKU) penglihatan, walaupun sudah kerap kali ditangkap oleh pihak berkuasa, namun dia tidak mempunyai pilihan kerana punca rezekinya hanya dengan menjual tisu di Pasar Besar Siti Khadijah sejak lebih 10 tahun lalu bersama arwah isterinya.

Katanya, sejak arwah isterinya meninggal dunia dua tahun lalu disebabkan penyakit kencing manis, kini dia terpaksa berulang-alik alik bersendirian dari rumah sewanya di Jelawat, Bachok ke Kota Bharu dengan menaiki bas setiap tiga atau empat hari seminggu.

"Saya bukan mengemis, tetapi wang bulanan yang diperolehi daripada JKM sebanyak RM400 tidak cukup kerana perlu membayar sewa rumah RM170 sebulan selain bil utiliti dan makan minum.

"Dengan keadaan mata saya yang tidak dapat melihat menyebabkan saya sukar mendapat pekerjaan dan hanya mampu menjual tisu untuk mencari duit tambahan.
"Dalam sehari saya memperoleh RM50 dan jika ada individu yang prihatin, mereka hanya memberi sedekah dan tidak mengambil tisu yang dijual,"katanya tidak mempunyai anak.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Pejabat JKM Kota Bharu selepas diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis, di sini, pada Ahad.

Operasi berkenaan membabitkan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dan JKM.

Manakala seorang kanak-kanak warga Thailand, Solehah Mat Ali, 12, berkata, dia datang ke negeri ini bersama ibu dan ayahnya sejak seminggu lalu untuk menjual kerepek di kaki lima bank di sekitar bandar Kota Bharu.

"Saya menggemis bukan sebab dipaksa oleh mak atau ayah, tetapi atas kerelaan sendiri untuk membantu mereka mencari wang untuk membeli baju raya untuk adik-adik yang masih kecil.

"Setiap kali datang ke sini, saya akan mengayuh basikal sendirian dari rumah sewa kami yang terletak berdekatan Masjid Muhammadi untuk menjual kerepek bermula jam 9 pagi hingga lewat petang," katanya.

Difahamkan Solehah sudah dua kali ditangkap oleh pihak berkuasa iaitu kali pertama pada bulan lalu selepas dia dilihat menjual kerepek berseorangan di kaki lima sebuah bank di bandar Kota Bharu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri, Azman Mat Zain, berkata, seramai 15 pengemis termasuk dua kanak-kanak terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing diselamatkan dalam operasi berkenaan.

"Daripada jumlah itu, seramai tiga pengemis warga tempatan diselamatkan dan mereka akan ditahan sementara di Rumah Seri Kenangan di Taman Kemumin dalam tempoh 24 jam dan jika berkerperluan kita akan menahan mereka selama sebulan untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Manakala bagi kes pengemis warga asing pula kita akan serahkan mereka kepada JIM untuk tindakan selanjutnya,"katanya.

Beliau berharap sempena musim perayaan ini, warga tempatan menyalurkan derma pada tempat yang sepatutnya kerana ramai sindiket atau pengemis warga asing yang mengambil kesempatan untuk mengemis bagi meraih simpati.





Tag: Kota Bharu, Thailand, siasatan, Imigresen, warga asing, operasi, pengemis, Jabatan Kebajikan Masyarakat


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.