Tindakan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, menolak saranan supaya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini bertujuan memberi laluan kepada calon lain.

Menurut Zambry, walaupun ramai ahli UMNO lebih-lebih lagi di Lumut serta rakyat melalui sosial media meminta beliau bertanding jawatan berkenaan, ia terpaksa ditolak bagi memberi laluan kepada calon lain.

"Saya tahu keinginan UMNO Lumut serta rakyat lebih-lebih lagi melalui sosial media mahu sya bertanding antara jawatan utama dalam UMNO khususnya peringkat Naib Presiden, tetapi saya terpaksa menolaknya.

"Terima kasih atas doa dan hasrat anda semua tetapi biarlah di peringkat ini saya beri tumpuan kepada peringkat Majlis Tertinggi jika dipilih ahli-ahli UMNO pada pemilihan kali ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lumut di Virgo Batik Resort, Teluk Batik, pagi tadi.

Zambry turut memaklumkan tindakannya itu bukanlah kerana beliau takut atau tidak berani bersaing dengan calon lain tetapi lebih kepada memberi ruang kepada calon lain.

"Saya akan cuba beri khidmat sebagai Ahli Majlis Tertinggi di mana boleh memberi sedikit sebanyak sumbangan kepada parti dalam konteks pemulihan parti kita selepas tewas pada PRU14" katanya.

Terdahulu Zambry melalui laman Facebook mengumumkan akan bertanding bagi pemilihan barisan kepimpinan Ahli Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal baharu 2018-2021 walaupun ada pihak menggesa beliau bertanding jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, lebih 500 perwakilan UMNO terdiri daripada wanita, pemuda dan puteri parti berkenaan hadir pada mesyuarat perwakilan tersebut bagi memilih calon-calon yang bertanding bagi sayap masing-masing.