Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menafikan membuat tuduhan terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar semasa ceramah di Permatang Pauh baru-baru ini.

Azmin berkata beliau cuma bertanya soalan kepada Khalid semasa ceramah dan bahawa beliau telah mengemukakan salinan klip video itu kepada peguamnya.

"Saya bertanya soalan kepada IGP, bukan tuduhan tapi soalan. Adakah sekarang soalan pun tak boleh. Adakah saya perlu memohon maaf untuk bertanya soalan," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada pelajar sekolah kebangsaan Tamil di Selangor, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin mengulas kenyataan beliau yang dikatakan menghina Khalid dengan menggelarnya "barua UMNO" semasa ceramah politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, baru-baru ini.

Beliau mengulangi bahawa kenyataannya itu hanya ditujukan kepada Ketua Polis Negara dan bukan seluruh pasukan polis.

Sementara itu, Menteri Besar itu berkata kerajaan negeri mahu projek bekalan Air Langat 2 disiapkan dalam masa terdekat dan bahawa Kerajaan Persekutuan harus memenuhi semua terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Mohamed Azmin mahu penstrukturan semula industri air di negeri ini diselesaikan secara baik dan menambah kerajaan negeri mempunyai pilihan lain selain dari Langat 2 untuk memastikan bekalan air mentah dan air dirawat mencukupi untuk kegunaan domestik dan industri.

Rabu lepas, Pengerusi Eksekutif Syabas dan Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB), Tan Sri Rozali Ismail berkata isu-isu berkaitan penstrukturan semula industri air di Selangor perlu diselesaikan secepat mungkin untuk mengelakkan krisis air di negeri ini memandangkan rizab air kini di bawah lima peratus.

"Kita memerlukan Langat 2 sekarang dan bekalan air tambahan kerana rizab sangat rendah," beliau dipetik sebagai berkata.