Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak hanya berdiam diri selepas ditempelak Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Annuar Musa yang mendakwa beliau 'tidur' ketika pembentangan Belanjawan 2019 dari wakil pembangkang hari ini.

Guan Eng memberi respon dalam Twitter peribadinya hari ini dengan menyatakan bahawa matanya membuatkan beliau berasa tidak selesa.

BACA: BN tempelak Guan Eng tidur di Parlimen

Menurut Guan Eng, beliau masih mampu untuk hadir mendengar perbahasan Rang Undang-Undang Pembekalan 2019 oleh ucapan wakil pembangkang, Khairy Jamaluddin.

"Saya sempat catit nota sambil merehatkan mata," katanya.

Beliau turut memuat naik satu imej yang memaparkan nota catatan dari pembentangan Khairy dalam perbahasan di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.