Lebih 50 penduduk panik seketika dengan penemuan seekor 'sang bedal' sepanjang dua meter dengan berat 65 kilogram yang tiba-tiba muncul di belakang sebuah rumah dalam kejadian di Lorong Satu, Taman Selagon, dekat sini, hari ini.

Dalam insiden 10.30 pagi, reptilia berkenaan berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort yang menerima maklumat daripada penduduk setempat.

Menurut salah seorang saksi, Kang Sani Khalid Yunus, 22, dia dimaklumkan oleh adik lelakinya yang mendakwa terlihat buaya berkenaan di belakang rumah jiran mereka.

"Apabila adik saya mahu pergi kerja, dia telefon dan bilang ada buaya, saya ingat biawak jadi saya keluar cari mana biawak, dia bilang rumah paling hujung.

"Lepas itu saya datang cari mana tu biawak, lepas itu ada anjing menyalak dan selepas saya tengok dan masuk dekat belakang rumah itu, rupanya buaya tu dekat belakang saya," katanya.

Kang Sani yang juga seorang pekerja kontraktor Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berkata demikian ketika ditemui di lokasi kejadian di Taman Selagon di sini, hari ini

Buaya Melawat Rumah

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort Mohd Mayroof Koibil ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.59 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan seramai lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, ada penduduk menemui seekor buaya yang berukuran 2 meter dengan berat 65 kilogram dan disyaki tersesat dari parit berhampiran taman perumahan itu sebelum ditemukan di belakang sebuah rumah,'' katanya.

Beliau berkata, operasi itu berjaya ditamatkan pada jam 11.24 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini dan buaya berkenaan sudah dibawa ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.