Ibu Aminulrasyid Amzah, remaja lelaki yang maut ditembak polis hampir lima tahun lepas, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau ingin menuntut keadilan untuk anaknya yang didakwa dibunuh dengan kejam serta menyalahi undang-undang pada usia 15 tahun.

Dalam pernyataan saksinya, Norsiah Mohammad, 66, berkata defendan pertama, Korporal Jenain Subi telah melakukan serang dan sentuh ke atas anak bongsunya itu yang tidak melakukan sebarang bentuk jenayah bagi menjustifikasikan penggunaan senjata api ke atasnya.

Mengenai reaksi pihak polis terhadap kejadian itu, beliau berkata pihak polis memberi liputan meluas mengenai kematian Aminulrasyid sehari selepas kejadian tembak itu yang berlaku pada 26 April 2010.

"Defendan ketiga, Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara) menyatakan bahawa anak saya cuba merempuh anggota polis dan ini menjustifikasikan anggota polis untuk menembak mati anak saya.

"Tambahan pula, anggota polis juga mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat sebilah parang yang dijumpai di dalam kereta arwah dan beliau disyaki sebagai seorang penyamun," katanya pada hari pertama perbicaraan kes saman yang difailkan oleh beliau dan anak sulungnya Nor Azura, 45, terhadap Jenain, Khalid serta tiga yang lain.

Kedua-dua plaintif itu yang turut menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan dan menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas alasan kematian Aminulrasyid berpunca daripada kecuaian Jenain.

Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid ketika mengejarnya di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.

Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Jenain tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja itu dengan tujuan menghentikannya.

Ketika disoal balas peguam Zulkifly Omar yang mewakili Jenain, Norsiah bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa walaupun Aminulrasyid tidak melakukan jenayah tetapi tindakannya melarikan diri daripada polis merupakan satu kesalahan.

Saksi pertama plaintif itu juga bersetuju dengan cadangan Zulkifly bahawa apabila Jenain mengejar kereta yang dipandu Aminulrasyid, anggota polis itu tidak tahu bahawa kereta itu dipandu oleh seorang kanak-kanak.

"Jika puan sedang pandu kereta dan ditahan polis, apa puan akan buat?" soal Zulkifly dan Norsiah menjawab: "Saya akan berhenti".

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung esok.