Seorang jurulatih renang melahirkan rasa terkejut apabila wang kertas not RM100 yang dikeluarkannya dari sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di sini, didapati palsu.

Mohd Azwim Kamarulzaman, 30, berkata pada awalnya dia mengeluarkan sejumlah RM5,000 dari mesin tersebut pada 26 Januari lalu sebelum ke sebuah bank lain untuk mendepositkan wang itu.

Bagaimanapun katanya, salah satu daripada kepingan not RM100 yang ingin didepositkan itu tidak dapat diterima dan menimbulkan rasa curiga kepadanya.


Susulan itu, keesokan harinya katanya dia terus membuat aduan kepada pegawai bank bertugas sebelum pegawai terbabit mengesahkan not RM100 itu adalah palsu.

“Pada hari Jumaat saya pergi pada bank dimana saya keluarkan wang dan staf bank mengesahkan wang itu adalah palsu. Daripada pegawai bank itu sendiri, dia akan hantar laporan kepada pejabat pusat.

“Saya rasa kesal. Saya fikirkan kalau duit RM100 itu betul betul hendak digunakan orang tertentu dan didapati palsu dan tidak boleh digunakan, dia teraniaya. Seperti saya, teraniaya,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Jelas Mohd Azwim lagi, dia terkejut bagaimana mesin ATM terbabit boleh mengeluarkan wang palsu dan dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Ayer Keroh.

Tambahnya, laporan kepada pihak bank terlibat juga telah dibuat dan permohonan maaf telah diterima daripada mereka.

Dalam pada itu, isteri mangsa, Noriha Nordin, 55, berkata, dia yang mula mentularkan kisahnya itu di laman sosial mendapati ramai individu yang berkongsi pengalaman sama.

“Saya pun tidak menyangka perkara ini jadi viral. Tujuan saya hendak sedarkan kawan-kawan saya di Facebook sebab kawan-kawan saya pun rakyat biasa, bukan berpendapatan tinggi, bila perkara ini menjadi viral mereka cemas dan hendakkan kepastian.

"Mereka terkena pada minggu sama dengan waktu suami saya keluarkan duit. Saya bimbang mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan cuti panjang untuk edarkan duit-duit palsu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abd Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, setakat ini hanya satu laporan diterima dan pihak polis sedang membuat siasatan secara terperinci mengikut Seksyen 489B kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.