Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau mempunyai sikap toleransi terhadap media sejak dahulu bukan selepas Pakatan Harapan (Harapan) mengambil alih pemerintahan negara.

Malah, Dr Mahathir juga mendakwa ketika menjawat jawatan perdana menteri buat kali pertama beliau sering mengadakan pertemuan dengan media.

Katanya dengan menemui media, beliau mempunyai peluang untuk menjelaskan banyak perkara yang timbul

"Bandingkan saya dengan kerajaan yang lepas, tak berani nak mengadap media, tak berani jawab, tahan, itu tak boleh cakap, ini tak boleh cakap.

"Jadi, saya lebih 'tolerant' berbanding kerajaan yang dahulu," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Minda Bersama Perdana Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di Shah Alam, hari ini.

Bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Johan Jaafar menjadi moderator program tersebut.