Saya mangsa kelicikan ahli politik, kata Ridhuan Tee

Saya mangsa kelicikan ahli politik, kata Ridhuan Tee
Dalam entri blognya hari ini, Ridhuan menjelaskan bahawa beliau sudahpun membatalkan niatnya untuk ke Sarawak sebelum tarikh ceramah tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli akademik yang juga penceramah, Dr. Ridhuan Tee hari ini melahirkan rasa kecewanya terhadap laporan awal media berkaitan isu yang mengatakan beliau ditahan ketika memasuki Kuching, Sarawak.

Dalam nada kesal, Ridhuan yang dihubungi Astro AWANI hari ini, berkata bahawa segala yang digembar-gemburkan media sejak 24 jam lalu bukanlah perkara yang sebenarnya terjadi.

“Dalam hal ini saya tawar hati untuk memberi maklum balas pada sebarang pertanyaan. Kenapa saya tidak dihubungi sejak awal tentang perkara ini?

“Saya sudahpun menjawab (melalui blog) tentang perkara tersebut. Saya tidakpun sampai ke Kuching waktu itu, bagaimana saya dilaporkan telah ditahan?

“Apa yang boleh saya katakan, dalam hal ini, saya menjadi mangsa kepada kelicikan ahli politik,” kata Ridhuan.

Dalam entri blognya hari ini, Ridhuan menjelaskan bahawa beliau sudahpun membatalkan niatnya untuk ke Sarawak sebelum tarikh ceramah tersebut.

Beliau juga telah meminta pihak penganjur membatalkan sahaja acara tersebut berikutan terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa pihak tertentu daripada PKR yang akan membuat protes kedatangannya di Lapangan Terbang Kucing pada hari dia dijadualkan tiba.
Ridhuan bagaimanapun tidak mahu mengulas mengenai kenyataan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) negeri Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman, yang mengatakan alasan larangan terhadap penceramah itu daripada memasuki Sarawak adalah kerana beliau membawa ‘politik ekstrem’.

Berikut adalah luahan Ridhuan melalui blognya:

“Pada 25.12.14, saya terbaca dalam laman web ultra kiasu mengenai kenyataan ADUN PKR Batu Lintang Sarawak, membuat bantahan terhadap kemasukan saya ke Sarawak untuk berceramah di Masjid Daerah Sematan, selepas Maghrib, pada 26.12.14.

Beliau telah sedaya upaya melaku segala cara, seperti menghantar SMS kepada pihak berkuasa Sarawak agar menghalang kemasukan saya ke Sarawak. 

Selepas membaca berita tersebut, saya telah menghubungi pihak penganjur, pada jam 5.00 petang, agar membatalkan sahaja jemputan ceramah yang telah dibuat sebulan yang lalu.

Pihak penganjur, yang juga telah menerima bantahan tersebut menjawab, ceramah akan tetap diteruskan dan meminta saya datang seperti yang dijadualkan. Pejabat Ketua Menteri turut memberi lampu hijau. Ketua Polis Negeri turut menyediakan escort untuk saya ke sana.

Mereka tidak akan tunduk kepada PKR. Suara PKR bukan suara rakyat Sarawak.

Tiba-tiba, pada jam 8.45 malam, pihak penganjur menelefon, memberitahu ceramah terpaksa dibatalkan atas alasan PKR akan mengadakan protes di Lapangan Terbang Kucing pada hari saya sampai. Saya pun membatalkan niat saya untuk ke Sarawak.

Peliknya, semua laman web ultra kiasu melaporkan saya ditahan imigresen di Lapangan Terbang Kucing. Pihak imigresen di sana turut mengiyakannya.

Sejak bila pula saya sampai ke sana? Malang sungguh pegawai imigresen tersebut. Inilah jahatnya ultra kiasu dalam memutarbelit dan mensensasikan berita.

Persoalan saya, kenapa kerajaan negeri tiba-tiba tunduk kepada PKR dan ultra kiasu? Kenapa imigresen mengeluarkan kenyataan palsu? Sejak bila PKR mewakili suara rakyat Sarawak? Peliknya, kenapa kerajaan negeri boleh terpengaruh dengan tuduhan ultra kiasu itu?

Saya tidak rugi apa-apapun, termasuk mungkin selepas ini ke Sabah. Banyak tempat lain yang memerlukan saya. Sedikitpun saya tidak terjejas jika tidak ke Sarawak. Kenapa PKR begitu gentar dengan saya? Jantanlah sikit.

Membandingkan saya dengan pemimpin PKR Semenanjung yang tidak dibenarkan masuk ke Sarawak, adalah dangkal sama sekali. Mereka ahli politik yang licik, saya ahli akademik dan pendakwah. Apa yang saya cakap dan tulis berasaskan sandaran.

Kebanyakan tuduhan ADUN tersebut, adalah berita yang telah dimanipulasikan ultra kiasu. Izinkan saya menjawab tuduhan beliau.

Pertama, beliau berkata saya pernah disiasat oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) atas tuduhan mengajar ‘ethnic cleansing’ kepada pelajar. Sejak bila pula MINDEF menjalankan siasatan terhadap saya? 

Setakat ini tidak ada seorangpun yang datang menyiasat tentang Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) saya. Tuduhan ini sengaja direka oleh ultra kiasu dan musuh-musuh saya semasa di UPNM.

Kalau nak tahu sama ada benar atau tidak, saya  mengajar ‘ethnic cleansing’, tanya pelajar saya, bukan orang lain. Saya cabar sesiapapun boleh lakukan siasatan.

Lihat contoh dalam YouTube, assignment yang dihasilkan oleh bekas pelajar saya dalam subjek hubungan etnik, yang saya beri markah A.