Editor Hal Ehwal Semasa Astro AWANI, Nazri Kahar mengesahkan bahawa beliau tidak dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan.

"Berita yang tular di laman media sosial berkaitan pelantikan saya sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan adalah tidak benar.

"Untuk makluman, saya masih bersama Astro sebagai Editor Hal Ehwal Semasa Astro Awani," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Khamis.

Sebelum ini, tular di media sosial melalui kumpulan Whatsapp mengucapkan tahniah atas perlantikannya sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan.

Nazri Kahar merupakan Editor dan juga hos bagi rancangan Hal Ehwal Semasa di Astro Awani sejak 2007.

"Saya terus menyumbang kepada industri media terutamanya Astro AWANI yang teguh dengan prinsip neutral dan tidak memihak," tambahnya.