Dakwaan yang mengatakan Mohamed Azmin Ali sudah dua bulan tidak menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat penipuan untuk memburuk-burukkan Menteri Besar Selangor itu.

Tegas Azmin, spekulasi Sultan Selangor yang murka kepadanya juga disifatkan bohong semata-mata kerana dia akan menghadap Sultan Sharafuddin pada setiap minggu untuk memaklumkan agenda Majlis Mesyuarat Negeri.

"Sudah menjadi amalan kebiasaan pentadbiran Kerajaan Negeri di mana Dato’ Menteri Besar Selangor akan menghadap Tuanku Sultan setiap minggu sebelum Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) untuk memaklumkan agenda MMKN dan perkara-perkara yang berkaitan.

"Selaku Menteri Besar Selangor, saya menghadap Tuanku Sultan pada setiap minggu untuk tujuan yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, blog editor kanan sebuah akhbar, Datuk Zaini Hassan menyiarkan catatan bertajuk 'Sultan Selangor murka? Azmin Ali MB paling pendek riwayat'.

Blog itu mengatakan Sultan Selangor kini murka dengan Azmin kerana sudah dua bulan menteri besar itu tidak dititah menghadap sultan.

Selain itu, blog itu menjelaskan, beberapa majlis rasmi kini diwakili adinda baginda, Tengku Sulaiman kerana Sultan Selangor cuba mengelak daripada bertemu Azmin.

Kata Azmin lagi, kali terakhir dia menghadap Sultan Selangor adalah pada Isnin.

"Pada Khamis, saya telah diterima menghadap oleh Tuanku Sultan untuk memaklumkan perkara di atas termasuk maklumat mutakhir tentang masalah yang berlaku dalam kepimpinan Pakatan Rakyat di peringkat nasional.

"Tuanku Sultan mengambil maklum akan perkara tersebut," jelasnya.

Dalam pada itu, menurut sumber dalaman pejabat Azmin, berita mengenai Menteri Besar Selangor bersama Sultan Selangor disiarkan hampir setiap minggu di media sosial.

"Tiga minggu lepas Azmin mengiringi Tuanku Sultan yang bersidang dalam Mesyuarat Majlis Raja Melayu. Dua minggu lalu, Azmin bersama-sama Tuanku menziarahi beberapa Makam Di-Raja dan mulai bulan Ramadan ini, hampir setiap hari Azmin bersama Tuanku untuk Majlis Iftar dan Tarawikh.

"Bagaimana Zaini sebagai penulis blog tidak menyedari gambar atau berita mengenai Azmin dan Sultan Selangor yang banyak disiarkan di media sosial?," kata sumber itu.

BACA: Tidak benar DUN Selangor akan dibubar - Azmin

Azmin sebelum ini menegaskan, ura-ura bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor akan dibubarkan adalah tidak benar dan tidak berasas sekali gus menolak dakwaan bahawa perkara itu kemungkinan berlaku.

BACA: "Jangan heret pihak Istana ke dalam krisis politik" - Azmin Ali

Terdahulu, Azmin memberi amaran tiada keperluan bagi membincangkan krisis politik semasa dengan pihak istana.

"Jangan heret pihak Istana ke dalam krisis politik.

"Saya hormati institusi diraja dan bagi saya tiada keperluan untuk berbincang mengenai hal itu," katanya.