Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata beliau bersedia untuk disiasat berhubung kenyataannya terhadap Tengku Mahkota Johor (TMJ) dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

"Saya seorang yang berpegang pada undang-undang dan akan berdepan undang-undang.

"Setakat ini saya tidak dipanggil... belum dipanggil lagi," kata Nazri sepertimana dipetik daripada portal Malaysian Insider.

Nazri berkata kenyataannya mengingatkan TMJ agar tidak mencampuri urusan politik adalah demi mempertahankan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun beliau melahirkan rasa kecewa apabila tindakannya itu hanya mengundang siasatan daripada pihak berkuasa.

“Semua orang perlu tahu yang kerabat diraja lebih tinggi daripada politik dan tidak boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Apabila Tunku Mahkota Johor serang Najib, tiada apa boleh dilakukan terhadapnya kerana beliau dilindungi Akta Hasutan.

"Tetapi apabila saya pertahankan Najib, saya pula kena panggil. Sekarang kita tahulah, padangnya tidak sama rata,” katanya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin dilaporkan akan memulakan siasatan ke atas Nazri di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan susulan kenyataan yang dibuatnya terhadap Tengku Mahkota Johor (TMJ).

BACA: Polis akan siasat Nazri Aziz di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan - KPN

Khalid melalui mesej WhatApp kepada Astro AWANI berkata beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Nazri dan mengesahkan pihaknya akan merekod kenyataan daripada menteri itu tidak lama lagi.

BACA: #Nothing2Hide: Kenyataan TMJ dapat sokongan netizen

BACA: Jauhkan diri dari politik..., tegas Nazri kepada TMJ