Lim Guan Eng rela dikenali sebagai menteri kewangan paling tidak popular demi menyelamatkan kedudukan kewangan negara.

Dalam temu bual khas bersama Associate Press (AP), beliau berkata kerajaan perlu memastikan perbelanjaan negara terkawal.

“Kita mempunyai masalah yang perlu diselesaikan dan kerajaan tidak boleh menipu dalam soal pengurusan kewangan.

“Saya mungkin jadi Menteri Kewangan paling tidak popular demi memastikan perbelanjaan tidak berlebihan dan negara mempunyai simpanan yang mencukupi.

"Saya bersedia menyelamatkan ekonomi negara dan menjadi tidak popular,” kataya ketika mengulas kritikan banyak pihak bahawa pendedahan kementerian itu menakutkan pelabur dan orang ramai.

Tambah Guan Eng, apa yang dilakukan kementerian kini adalah untuk memulihkan imej, ketelusan dan tadbir urus negara demi masa depan yang terjamin.

“Malaysia akan muncul negara yang kuat,” tegas Guan Eng.

“Pasaran mungkin tidak biasa melihat sebuah kerajaan yang bercakap jujur tentang masalah yang dihadapi. Namun lama kelamaan pelabur akan biasa juga (dengan pendedahan itu).

“Ini prinsip kejujuran yang perlu kita patuhi. Kami tidak mahu bina projek mega yang hanya mengelirukan rakyat (terhadap masalah sebenar negara),” katanya.

Tambahnya, pelabur juga harus tidak mengabaikan aspek lain seperti kedudukan sistem perbankan negara yang mempunyai kecairan kukuh selain pertumbuhan ekonomi yang masih utuh.

Guan Eng turut menegaskan masalah fiskal dan hutang yang diwarisi oleh Pakatan Harapan menyebabkan sukarnya janji pilihan raya dilaksanakan.

“Kami akan laksanakan semua janji, tetapi dalam keadaan kewangan dan masalah semasa, rakyat perlu faham sukar untuk kita laksanakan janji ini.

“Kami laksanakan dahulu subsidi minyak, sifarkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan meneruskan bayaran Bantuan Sara Hidup,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan komited melaksanakan baki janji pilihan raya selepas kedudukan kewangan bertambah pulih.