Ibu tunggal bersama tiga anak memilih untuk menjadikan reban ayam di belakang rumah ibunya di Kampung Panggung Tiga Daerah, Bukit Abal, sebagai tempat berteduh.

Rabiatuladawiyah Ayub, 32, yang berpisah dengan suami enam bulan lalu mengambil keputusan itu kerana tidak mahu mengganggu kehidupan ibunya.

Menurutnya, rumah ibunya kecil dan hanya mempunyai satu bilik tidak sesuai untuk dia tinggal di situ apatah lagi ibunya baru sahaja berkahwin.

“Saya dengan rela hati tinggal di sini, bukan saya dihalau sesiapa. Hubungan saya dengan ibu pun masih baik.

“Bekalan elektrik dari rumah ibu saya, cuma rumah ini tiada bekalan air, tiada dapur dan tiada bilik,” katanya yang tinggal di situ sejak dua bulan lalu.

Rabiatuladawiyah berkata, dia bersama tiga anak, Wan Nurdhia Irdina Wan Rubuan, 7, Wan Mohd Aniq Anaqi, 6, dan Wan Mohd Firas Irfan, 1, hanya makan nasi sekali sehari kerana tiada sumber pendapatan.

Katanya, anaknya, Wan Nurdhia Irdina juga sudah biasa tidak membawa wang saku ke sekolah.

“Tak boleh masak sebab saya tak ada dapur. Duit jiran bagi saya gunakan untuk beli makanan,” katanya.

Kisah keluarga itu tular di laman sosial selepas penderitaan hidup mereka dikesan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Mohd Asri Abdullah.

Mohd Asri berkata, gabungan lebih 12 NGO bersetuju untuk membantu keluarga tersebut dan sedang berusaha mendapatkan dana untuk membina rumah ibu tunggal itu.