"Saya sedar saya sangat tua dan tidak lama lagi akan kehilangan kudrat serta mati."

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian kerana menurutnya beliau tidak mempunyai banyak masa lagi kerana usia yang kini mencecah 94 tahun.

"Orang lain mungkin mengambil perkara dengan mudah, tetapi perlu cepat kerana sedar saya sudah tidak ada banyak masa lagi untuk melakukan apa yang sepatutnya dibuat untuk negara ini," katanya lagi.

Tambahnya, disebabkan itu, beliau tergesa-gesa melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan demi kebaikan negara ini.

"Saya bertuah hidup selama ini dan sepatutnya (dalam usia 93 tahun), saya tidak patut hidup lagi untuk menyaksikan apa yang berlaku kepada pengganti saya.

"Tetapi saya bernasib baik kerana bukan sahaja tua tetapi masih berupaya bekerja," katanya dalam wawacana bersama Focus Malaysia.

Menurutnya, jawatan Perdana Menteri yang disandang sekarang hanya sementara dan bersedia melepaskan jawatan tersebut apabila tiba masanya.

"Saya cuma Perdana menteri sementara. Jika saya diminta berundur, saya akan pergi kerana tiada tarikh khusus yang diberikan.

"Saya hanya dimaklumkan bahawa saya Perdana Menteri dari pakatan pembangkang (sebelum PRU14) tetapi mereka (PH) tidak memperincikan tarikhnya.

"Mereka kata saya hanya Perdana Menteri sementara dan akan ada orang lain mengambil alihnya. Saya fikir mungkin sebelum PRU akan datang," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut menolak kemungkinan berlaku rombakan Kabinet walaupun jemaah menteri kekurangan pengalaman.

"Sekiranya saya menggugurkan menteri Kabinet dan gantikan dengan individu lain, ia tidak membantu. Buat masa sekarang, saya perlu mencuba dan bekerja supaya mereka dapat menimba pengalaman.

"Saya percaya ada dalam kalangan mereka telah menjalankan tugas dengan baik. Mereka juga perlu menerima teguran terutama dalam soal berkelakuan seperti pembangkang," katanya.