"Saya sering terbayang-bayang wajah anak saya dan menerima dengan reda bahawa kini dia sudah tiada."

Demikian luahan Semar Osman, 46 tahun, bapa kepada Mohamad Danish Haikal, 12 tahun yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Belat di Kampung Jaya Gading di sini.

Tambah Semar, walaupun sedih dengan pemergian anak keempat daripada lima beradik itu, dia akur dengan ketentuan Ilahi.

"Syukur pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemuikan jasadnya. Saya berterima kasih kepada semua anggota keselamatan, penduduk kampung dan semua pihak yang membantu mencari anak saya. Jasa kalian tidak mampu saya balas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Mohamad Danish Haikal dilaporkan lemas ketika memancing bersama-sama tiga rakannya dan gagal diselamatkan walaupun seorang orang awam yang melihat kejadian dapat mencapai mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata mayat mangsa ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat dia dikatakan terjatuh selepas tunggul kayu yang dijadikan tempat duduk untuk memancing patah.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jaya Gading pada petang ini," katanya.

Mohamad Noor menambah operasi SAR melibatkan 104 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk polis, pasukan selam polis marin, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam dari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Kita berharap masyarakat terutama yang tinggal berhampiran dengan kawasan sungai untuk mengawasi anak-anak supaya tidak melakukan aktiviti yang berisiko mendatangkan bahaya," katanya.