Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sejak awal yakin bahawa beliau akan berjaya dalam kes rayuannya.

Ibrahim berkata, keyakinan itu timbul kerana beliau tidak bersalah atas fakta kes tetapi tetap menghormati keputusan hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini.

"Syukur kepada Allah SWT kerana selama ini, saya tahu bahawa saya sebenarnya tidak bersalah.

"Prinsip saya mudah. Jika bersalah atau buat salah, mengaku saja. Tapi kalau tak bersalah terus berusaha mencari keadilan dan kebenaran.

"Hari ini kebenaran terbukti dan saya mendapat keadilan. Saya sentiasa menghormati Hakim dan Mahkamah.

"Saya tidak pergi ke Mahkamah untuk menegak benang basah dan sentiasa yakin dengan ketelusan perjalanan Sistem Kehakiman Negara kita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan hukuman penjara dan denda RM20,000 terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kerana menghina mahkamah.

"Walaupun saya telah menjalani hukuman penjara sehari, saya menerimanya dengan baik," katanya lagi.

Sementara itu Bernama melaporkan, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Abdul Wahab Patail membenarkan rayuan Ibrahim untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau bersalah kerana menghina mahkamah berhubung penerbitan sebuah artikel dalam laman web berkaitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham.

Singham ketika itu mengetuai panel hakim kes saman fitnah yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (M) Bhd dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Dua lagi hakim yang mempengerusikan panel itu ialah Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Varghese George Varughese. Penghakiman sebulat suara itu ditulis hakim Varghese dan dibacakan di mahkamah terbuka oleh Timbalan Pendaftar Zaini Fishir@Fisal.

Dalam penghakimannya, Hakim Varghese berkata mahkamah berpendapat bahawa hakim Mahkamah Tinggi jelas terkhilaf dalam kedua-dua fakta dan undang-undang yang menyabitkan Ibrahim kerana menghina mahkamah.

Beliau berkata, pendapat Mahkamah Tinggi bahawa Ibrahim telah menghina mahkamah boleh dipertikaikan dan dengan itu hukuman berkenaan diketepikan.

Hakim Varghese turut memerintahkan denda RM20,000 yang telah dibayar oleh Ibrahim dipulangkan.

Beliau berkata rayuan Ibrahim adalah suatu kes yang layak dan sesuai serta wajar campur tangan oleh Mahkamah Rayuan.

Ibrahim dan Zainuddin Salleh, yang merupakan penulis artikel tersebut didapati bersalah pada 19 November tahun lepas kerana menghina mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara menjatuhkan hukuman penjara sehari ke atas Ibrahim dan beliau telah menjalani hukuman berkenaan.

Sementara Zainuddin yang dijatuhi hukuman penjara empat minggu telah menjalani hukuman itu dan tidak merayu.

Pada 5 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anwar untuk memulakan prosiding komital terhadap Ibrahim dan Zainuddin kerana menghina mahkamah berhubung penerbitan artikel dalam laman web Perkasa pada 7 Januari tahun lepas, yang didakwa telah mencemarkan imej Singham.