'Saya tak mau pi penjara, saya nak pi Tanjung Rambutan'

'Saya tak mau pi penjara, saya nak pi Tanjung Rambutan'
Tertuduh yang diletakkan dalam lokap mahkamah sendirian selepas selesai pendakwaan secara tiba-tiba menangis dan menjerit. - Foto Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Kejadian turut mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan orang ramai kerana menyangka tertuduh dipukul sehingga kedengaran seperti menangis teresak-esak.

Terdahulu, dalam proses pendakwaan, tertuduh tidak mengaku merogol anak tunggalnya berusia 13 tahun dan meminta mahkamah agar tidak menghantarnya ke penjara, sebaliknya mendapatkan rawatan ke Hospital Bahagia.

"Saya tak mau pi penjara, saya nak pi Tanjung Rambutan," katanya ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pendakwaan, dia telah melakukan persetubuhan dengan anaknya dalam kawasan hutan Tanjung Jaga, Yan pada 22 Mac 2018 jam 8.45 malam.
Disebabkan perbuatan itu, dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Savinder Singh Jugindar Singh.

Jika sabit kesalahan, hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan boleh dikenakan.

Tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin dan diperintahkan dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan psikiatri.

Mahkamah menetapkan 4 November 2018 sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh yang diletakkan dalam lokap mahkamah sendirian selepas selesai pendakwaan secara tiba-tiba menangis dan menjerit.

Dia yang telah bercerai dengan isteri bagaimanapun hanya menundukkan kepala ketika diiringi anggota keluar dari lokap mahkamah ke kenderaan polis.

Mengikut rekod lampau, tertuduh pernah dijatuhkan hukuman pada 2003 dan 2006 atas kesalahan merogol.