Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar hari ini dengan tegas mengatakan bahawa beliau tidak bersalah atas tuduhan liwat yang dikenakan atas dirinya dengan bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau menjawab soalan wartawan yang menanyakan sama ada akan terus aktif berpolitik sekiranya dipenjarakan.

Anwar turut optimis bahawa beliau akan memenangi kes tersebut sekiranya mahkamah membuat keputusan berdasarkan fakta dan keterangan saksi.

"Mengapa saya boleh difikir hendak dikenakan hukum tentang hal yang saya tidak salah?

"Saya telah didokong dengan bukti yang cukup terang dan tegas... jadi bagi saya (ianya) aneh," kata beliau pada sidang media selepas pelancaran buku tulisan Prof Dr Syed Husin Ali yang bertajuk 'Ethnic Relations in Malaysia'.

Menurut Anwar, sekiranya masih wujud rasa sangsi dari orang ramai tentang keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb nanti, ini bermakna mahkamah tidak lagi bebas.

Meskipun yakin, beliau mengatakan yang beliau masih 'berhati-hati' dengan keputusan tersebut.

"Saya berdoa yang terbaik... saya berdoa supaya kewarasan masih wujud (dalam sistem kehakiman) dan saya diadili berdasarkan bukti yang ada.

"Meskipun begitu, saya perlu realistik, dan ianya tidak mudah bagi saya dan keluarga saya (sekiranya dipenjarakan), namun ianya merupakan harga kecil yang perlu saya bayar kerana mendokong prinsip," katanya.

Menurut Anwar, beliau telah pun berbincang mengenai perkara ini dengan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan katanya Azizah, meskipun tabah, masih tentang kesihatan suaminya itu.

Selain itu, Anwar juga enggan mengulas tentang pemimpin yang akan menggantikan dirinya dalam Pakatan Rakyat sekiranya beliau dipenjarakan, dan akan meneruskan perjuangan.

Bagaimanapun beliau berkata Pakatan Rakyat harus dilihat sebagai sebuah pergerakan dan gabungan parti yang berdasarkan prinsip dan dasar yang diiktiraf.

"Jika itu diterima, maka isu tentang siapa yang seterusnya akan menjadi pengerusi atau ketua pembangkang boleh diselesaikan secara baik.

"Kita sepatutnya mengharapkan yang terbaik, berdasarkan fakta dan jelas sekali undang-undang di pihak saya," jelasnya.

Sementara itu, Anwar memaklumkan bahawa beliau terpaksa menangguh pertemuannya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat masa sekarang kerana kesibukan menjelang hari keputusan rayuan.

Beliau merujuk kepada pertemuannya dengan SPRM berkenaan dakwaannya terhadap bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.

"SPRM memang tunggu tarikh dari saya.. dan saya berkewajipan untuk bekerjasama dengan mereka. Mereka bagi saya tarikh, saya minta tangguh... kalau bebas, saya akan jumpa mereka dan adakan perbincangan itu," katanya.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pada 10 Februari ini bagi keputusan rayuan Anwar Ibrahim dalam kes liwatnya.

Ia susulan tindakan Pejabat Peguam Negara pada Pada 20 Januari 2012 yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful Bukhari.