Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sering dilihat sebagai seorang pemimpin yang lebih berpihak kepada orang Melayu.

Namun, Zahid menafikan beliau hanya berjuang untuk kepentingan Melayu semata-mata sebaliknya memberi keadilan kepada semua kaum.

"Kita tidak boleh lari daripada memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengetepikan agenda Melayu dan agama Islam.

"Ini mungkin gagal dilihat oleh pihak yang tidak dapat menterjemahkan pegangan saya," katanya dalam satu tembual bersama Berita Harian hari ini.

Katanya, persepsi bahawa beliau pemimpin yang hanya memperjuangkan kepentingan Melayu kerana sikapnya yang tidak mudah goyah.

"Biarpun saya dilihat agak keras sebagai Menteri Dalam Negeri, saya sebenarnya buta warna dalam membuat tindakan," katanya lagi.

Mengulas dakwaan bahawa belum tiba masanya beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri, Zahid berkata hukum Allah dan qada dan qadar menentukan segalanya.

Zahid berkata isu siapa yang paling sesuai dalam sesuatu kedudukan adalah satu soal yang amat subjektif.

"Dalam konteks ini, situasi yang muncul bukan kerana sesuatu krisis, tetapi harus dilihat bahawa seseorang itu sesuai atau tidak apabila peluang sudah ada.

"Malah, cahaya atau nur datang sendiri jika seseorang dapat tanggungjawab baharu dan tentu tempoh masa secukupnya perlu diberikan kepada seseorang itu memperlihatkan prestasinya," ujar beliau.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menganggap situasi yang dialami oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sama dengan apa yang dilaluinya ketika menerajui Pergerakan Pemuda UMNO.

"Biarpun saya adalah ketua yang statusnya sama seperti naib Presiden, saya tidak duduk sebagai ahli Kabinet, namun tetap menyumbang memperkukuhkan dan melicinkan jentera kerajaan dari perspektif luar kepompong pentadbiran," katanya.

Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan Kabinet pada Selasa.