'Saya tidak akan minta maaf' - Mohd Shafie

'Saya tidak akan minta maaf' - Mohd Shafie
MOHD SHAFIE (tengah) ketika sidang media di kediamannya di Luyang hari ini. - Astro AWANI/ RUZAINI ZULKEPLI
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan meminta maaf terhadap kenyataannya berhubung penugasan Jabatan Relawan Malaysia (RELA) di Sabah yang tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai, baru-baru ini.

Menurutnya, beliau hanya mempersoalkan secara logik berhubung penugasan anggota RELA bagi menjaga keselamatan di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

"Takkanlah saya nak minta maaf, saya tidak bersalah, kalau saya bersalah boleh lah saya minta maaf.

"Saya bukannya menghina (anggota RELA). Mungkin orang beranggapan saya menghina, itu anggapan mereka... tetapi in my heart (di hati saya) tidak, i cant humiliating my relative (saya tidak mempersendakan saudara saya)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kota Kinabalu, hari ini, bagi memberikan penjelasan berhubung ucapannya mengenai penugasan anggota RELA dalam sebuah program baru-baru ini.

Menerusi video yang tular di laman sosial pada 15 Januari lalu, Mohd Shafie ketika berucap dalam program Bicara Presiden Warisan di Tuaran, Sabah, sehari sebelumnya dilihat mempertikaikan tindakan menempatkan anggota RELA yang tidak mahir dalam mengendalikan senjata api untuk penugasan di ESSZONE.

Beliau dilaporkan berkata anggota RELA hanya sesuai untuk perkhidmatan kawalan trafik di majlis-majlis kenduri sahaja.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, apa yang berlaku adalah ucapannya di dalam video terbabit telah dipotong serta diedit pihak tertentu selain tidak ditayangkan sepenuhnya mengenai kenyataan sebenar.

Sebaliknya, beliau memaksudkan dalam ucapan itu adalah merujuk kepada Akta 752 iaitu Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 yang mana penugasan anggota RELA hanya tertakluk kepada membantu pihak berkuasa yang berkaitan mengawal dan mengubah haluan kenderaan motor iaitu trafik selain mengawal kententeraman awam.

"Susulan kejadian terbabit, saya dipanggil oleh pihak polis dan dirakam keterangan di suatu lokasi di Kota Kinabalu yang mengambil masa lebih dua jam hari ini," katanya.

Beliau dalam pada itu menjelaskan bahawa tindakan meletakkan anggota RELA di kawasan ESSZONE adalah satu langkah tidak relevan memandangkan jabatan terlibat terpaksa berhadapan ancaman daripada pengganas seperti militan Abu Sayyaf dan mereka hanya dibekalkan dengan kelengkapan senjata kayu cota sahaja.