"Saya tidak benci kaum Yahudi, cuma kekejaman Israel" - Syed Saddiq

"Saya tidak benci kaum Yahudi, cuma kekejaman Israel" - Syed Saddiq
Syed Saddiq menegaskan, Malaysia akan berani menentang pelanggaran hak asasi manusia dan sebarang kecenderungan terhadap keganasan.
LONDON: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq menegaskan, beliau bukan bersifat perkauman, cuma membenci kekejaman kerajaan Israel yang ditadbir oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Dalam temuduga dengan BBC HARDtalk pada Rabu bersama pengacara Shaun Ley, Syed Saddiq berkata, menjaga kepentingan warga Palestin adalah lebih penting berbanding sebuah acara antarabangsa.

“Jika penganjuran acara antarabangsa lebih penting daripada kepentingan saudara-saudari Palestin yang telah dimutilasi, maka hilanglah perikemanusiaan kita,” jawabnya mengenai keputusan kerajaan yang mengharamkan atlet Israel memasuki negara ini.
Tambah beliau: “Kerajaan merupakan ‘lokus’ bagi semua tindakan moral secara kolektif. Namun, bukan semua rakyat Israel yang bertanggungjawab. Serupa dengan rakyat Palestin, bukan semua bersalah walaupun ada segelintir yang bertindak kasar.”

Jawabnya kepada pelbagai soalan mencabar yang ditujukan Shaun mengenai hal berkenaan, Syed Saddiq menegaskan, Malaysia akan berani menentang pelanggaran hak asasi manusia dan sebarang kecenderungan terhadap keganasan.

“Malaysia berani menentang walaupun ada akibatnya. Negara ini percaya kepada peraturan perundangan, hak asasi manusia dan menentang jenayah perang,” ujar beliau pada penghujung temubual itu.

BACA: Israel negara penjenayah, kami tidak mahu penjenayah - Tun Mahathir

BACA: Sekat atlet Israel: Rakyat Palestin zahir penghargaan atas pendirian Malaysia

Baru-baru ini, kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini serta menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Penegasan kerajaan Malaysia menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai 'anti-Semitisme melampau'.