Sesiapa sahaja boleh mengutarakan pandangan, namun apa yang lebih penting ialah perbincangan rasmi yang dibuat antara dua negara.

Itu komen Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berhubung pandangan bekas diplomat Singapura, Bilahari Kausikan berkaitan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura pasca COVID-19.

"Saya tidak kenal siapa dia. Bagi saya, apa yang penting adalah perbincangan saya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan.

"Dalam perbincangan kami, apa yang perlu diberi perhatian ialah prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang akan memberi kesan kepada rakyat Singapura dan Malaysia.

"Kedua-dua negara perlu mengambil langkah berhati-hati bagi memastikan pembukaan semula sempadan dan pergerakan orang ramai berjalan lancar dan selamat," kata Hishamuddin dalam sidang media berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, pada Khamis.



Bilahari, yang juga merupakan Pengerusi Institut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura sebelum ini memuat naik satu entri di Facebook menyokong kenyataan Vivian yang menentang pembukaan sempadan kedua-dua negara tanpa sekatan.

"Betul. Jika tidak, mereka akan 'membawa' masalah mereka kepada kita," tulis Bilahari.

Vivian, dalam satu temuramah bersama CNA sebelum itu memaklumkan adalah mustahil untuk Singapura membuka sempadan tanpa sebarang sekatan atau pengujian terhadap orang ramai yang keluar masuk.

"Saya rasa itu (tindakan) tidak bijak. Tetapi kita boleh membuka sempadan secara berperingkat, mengambil langkah keselamatan seperti membuat pengujian dan melakukan penjejakan kontak kerana apabila sempadan dibuka, risiko jangkitan juga akan meningkat," kata Vivian.