Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi pemimpin negara buat kali kedua.

”Sesuatu yang saya tak mimpi langsung. Saya ingat bila saya sudah bersara, dapatlah rehat, tiada masalah politik tetapi orang tak bagi saya rehat.

“Macam-macam rombongan datang minta saya buat sesuatu. Masa Paklah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) pun mereka suruh saya buat sesuatu.

"Saya buat sesuatu sampai Paklah kena turun. Lepas tu naik (Datuk Seri) Najib (Razak),” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian.

“Ingat saya boleh rehat, tetapi tidak boleh rehat juga. Seperti orang tahu saya kena aktif balik, kerana orang suruh buat sesuatu.

“Sesuatu itu pada awalnya adalah nasihat saja. Cuba pujuk Najib jangan guna wang dan sebagainya, tetapi dia percaya dengan duit dia boleh berjaya, cash is king.

“Jadi akhirnya kita dapat tunjuk bahawa cash bukan king, semangat manusia lebih kuat daripada cash. Apabila manusia berasa marah, mereka tidak peduli berapa duit yang diberi.

"Mereka mungkin terima tetapi mereka tidak akan sokong. Itulah yang berlaku dalam pilihan raya umum (PRU) ini,” katanya.

Jelasnya, rakyat tidak ada simpati pada Najib walaupun dia bagi duit banyak.

”Mereka nak Najib jatuh. Bermakna bila Najib sudah jatuh tidak ada lagi duit yang mereka dapat itu.

“Sebab duit itu bukan duit Najib sebenarnya. Itu duit yang dia dapat secara tidak halal,” katanya.



Menjelaskan pengalaman menjadi perdana menteri buat kali kedua, beliau berkata, kali ini cukup berbeza buat kali pertama.

”Dulu saya jadi perdana menteri, mudah. Saya masuk pegang jawatan, tidak ada kerja banyak. Sekarang ini saya nak kena bentuk jentera dan nak isinya.

“Kita pula ada empat buah blok parti yang sama penting dalam parti. Saya kena pilih. Jadi saya sekarang ini amat sibuk. Tak sibuk macam dulu.

“Sekarang ini ada beberapa suratkhabar pun saya tidak dapat buka. Kesan kepada saya dari segi tenaga lebih teruk dari dulu,” katanya.

Mahathir turut melahirkan rasa syukur dengan kesihatannya.

”Alhamdulillah saya masih sihat, masih boleh buat kerja dan terpaksa buat kerja lebih lama.

”Sedikit sebanyak saya rasa senang hati balik. Sebab saya ini orang kata workaholic. Lagi banyak kerja lagi seronok,” katanya.