Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar yakin kebanyakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia sudah lama mengenali logo PH yang akan digunakan pertama kali pada pilihan raya kecil DUN itu.

Jelasnya, ramai pengundi terutama di bandar sudah biasa dengan logo yang baharu diluluskan itu.

"Satu perkara yang tidak merisaukan saya di kawasan bandar ini, ramai yang sudah tahu logo Harapan ini. Apabila kita turun (kempen), pengundi kata mereka tahu logo Harapan, maknanya mereka sudah tahu lebih awal lagi," katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PH PRK Seri Setia di sini pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, beliau dan jentera pilihan raya PH akan meningkatkan usaha mempromosikan logo Harapan dalam kalangan pengundi.

"Kita sudah berbincang dan kita akan all out untuk mempromosikan logo Harapan ini. Kita akan buat poster dan edarkan, walkabout iaitu turun di tasik, masjid dan sebagainya," jelas beliau lagi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui usaha mendekatkan pengundi untuk lebih mengenali logo PH yang akan digunakan buat pertama kali pada PRK Seri Setia dan Balakong akan mengambil sedikit masa.