Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed yakin, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad amat komited dalam membanteras gejala rasuah.

Jelasnya sejak menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir telah meluluskan lebih 21 polisi, dalam usaha memerangi gejala berkenaan.

“Dr Mahathir juga telah meluluskan Pelan Antirasuah mengandungi 103 inisiatif yang secara tulen untuk melawan gejala rasuah.

"Beliau telah memanggil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta membuat jawatankuasa reformasi berkaitan agar mereka dapat mengeluarkan langkah bagaimana untuk memastikan negara ini bebas dari rasuah," katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti Rasuah Sheikh Tamin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putraya.

Mengulas langkah pengisytiharan harta, Abu Kassim berkata, perkembangan harta milik menteri dan timbalan menteri akan dipantau terutama ketika mereka berkhidmat.

"Ini langkah penting dalam memastikan bahawa mereka membelanjakan berdasarkan apa yang mereka peroleh.

Bagi Abu Kassim, ketelusan dalam membelanjakan wang dan membeli harta baharu adalah lebih penting daripada melihat harta yang mereka miliki sebelum menjadi menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen.