Seawal jam 5.30 pagi, doktor wanita kelahiran Klang, Selangor ini sudah bangun dengan penuh semangat menyediakan kelengkapan untuk memberi perkhidmatan pergigian kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak.

Bermula 8 pagi, Dr Padmashini Kalimuthu telah siap menunggu di rumah (Rh) Anthony Bau di rumah panjang Nanga Sugai bagi kedatangan pesakit dari rumah panjang itu serta beberapa rumah panjang kawasan berhampiran seperti Rantau Tapang dan Mujok.

Dr Padmashini, 28, yang sudah dua tahun berkhidmat di Sarawak memilih untuk bersama 18 sukarelawan perubatan seperti doktor, doktor gigi serta ahli farmasi UMW-Mercy Malaysia melaksanakan misi klinik bergerak di kawasan penempatan masyarakat Iban, jauh daripada keselesaan bertugas di bilik rawatan berhawa dingin.

Bercakap kepada Bernama, Dr Padmashini yang bertugas di Hospital Miri berkata beliau sudah mendaftar sebagai sukarelawan UMW-Mercy Malaysia sejak setahun lalu, hampir menyertai misi pertama pada tahun yang sama tetapi oleh kerana bertembung dengan sambutan Deepavali dia tidak dapat bersama sukarelawan lain kerana pulang ke Semenanjung.

"Apabila dimaklumkan mengenai misi kali ini, saya bersetuju untuk bersama-sama menabur khidmat bakti. Rasa sangat gembira kerana dapat tolong masyarakat di pedalaman ini yang agak sukar untuk keluar mendapatkan rawatan kesihatan termasuk khidmat pergigian, ini sedikit sumbangan saya kepada mereka," kata doktor gigi lulusan Bachelor of Dental Surgery, Meenakshi Ammal Dental College and Hospital, Chennai, India ini.

Klinik bergerak UMW-Mercy Malaysia ke Rh Anthony Bau diadakan bermula 17 hingga 19 Ogos lepas, dan untuk ke rumah panjang itu pasukan misi harus bergerak dari Sibu ke Pangkalan Entabai di Julau menggunakan bas sebelum menyusuri sungai menggunakan perahu panjang kira-kira empat hingga lima jam, bergantung kepada keadaan sungai dan paras air.

Selain 18 sukarelawan perubatan, pasukan misi turut disertai kakitangan UMW, lebih 10 wakil media cetak dan elektronik bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk yang tinggal jauh di pedalaman, program CSR yang telah memberi manfaat kepada lebih 26,000 penduduk Sarawak dan Sabah sejak pelaksanaannya bermula 2009.

Dr Padmashini anak ketiga daripada tiga adik beradik mengakui perjalanan ke lokasi tersebut sangat mencabar serta sedikit penat namun tetap bersemangat untuk menyertai misi sulungnya itu.

Beliau juga perlu mengambil penerbangan daripada Miri ke Sibu, sebaik selesai bertugas pada Khamis (16 Ogos) untuk bersama-sama pasukan sukarelawan bergerak ke Julau pada Jumaat (17 Ogos).

"Penat... ya memang ada tetapi untuk kita perjalanan jauh ini hanya sehari, tetapi untuk mereka hampir setiap masa untuk mendapatkan rawatan, saya tak rasa susah lagipun selepas memberi rawatan rasa penat hilang, rasa seronok pula dan saya pasti nak sertai lagi misi pada masa hadapan jika berpeluang," katanya.

Dr Padmashini berkata menyertai misi sukarelawan untuk memberi khidmat kesihatan adalah manifestasi beliau sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu 'Sayangi Malaysiaku'.

"Saya cinta Malaysia, saya nak tolong rakyat Malaysia, sesiapa sahaja yang susah kita kena tolong kalau bukan kita siapa lagi?. Lagipun sejak awal memang niat dan saya sendiri memilih untuk berkhidmat di Sarawak," katanya.

Ketika sesi temubual ini diadakan, Dr Padmashini bersama rakan doktor Dr Mohd Yazid Sabri dibantu Penolong Pergigian, Jefery Drus sudah merawat hampir 40 penduduk daripada lima rumah panjang berhampiran yang datang mendapatkan rawatan.

"Hasil pemeriksaan tadi, rata-rata yang datang mengalami masalah gigi rosak atau gigi goyang mungkin disebabkan beberapa faktor seperti cara memberus yang tidak betul, namun begitu gigi mereka masih lebih baik berbanding pesakit di bandar," katanya.

--BERNAMA