Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa rakyat Malaysia ketika ini.

Tegasnya, setiap nyawa rakyat Malaysia adalah berharga.

"Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara-saudari. Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai.

"Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi juga satu kehilangan besar buat negara," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Jumaat.

Justeru, beliau mengajak masyarakat bersama-sama menjaga kesihatan diri, keluarga dan mereka di sekeliling dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Let me remind you that the war on COVID-19 is not yet over. The fight is still on. We are doing well so far, so just uplift your spirit and continue to fight. If we persevere, insyaAllah we will win," kata beliau lagi.

Beliau juga rasa bertuah kerana rakyat Malaysia adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang.

"Tahap pematuhan PKP di negara kita adalah tinggi dan ini menunjukkan saudara-saudari semua faham akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri.Teruskanlah sikap yang terpuji ini.

"Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakkal. InsyaAllah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah jualah kita berserah," ujarnya.