Sebahagian besar atau 66.7 peratus daripada 4,094 syarikat dan firma perniagaan menyatakan mereka menghadapi isu dan cabaran dalam menjalankan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, isu pembayaran gaji pekerja mendominisasi 76.6 peratus cabaran yang dihadapi diikuti 65.5 peratus kerana ketiadaan pelanggan.

“Lebih separuh responden (53.4 peratus) menyatakan hanya mampu bertahan satu hingga dua bulan sahaja sekiranya kemudahan cuti bergaji penuh atau separuh gaji diberikan kepada pekerja semasa PKP.

“Sepanjang tempoh PKP, 67.8 peratus responden menyatakan tiada sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP. Manakala 12.3 peratus syarikat atau firma perniagaan memperoleh pendapatan melalui jualan atau perkhidmatan atas talian dan 9.8 peratus daripada jualan di premis fizikal atau kedai,” katanya semasa sidang video di laman Facebooknya di sini, pada Jumaat.

Laporan itu terkandung di dalam Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Mac 2020 dan Laporan Survei Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Pertama 2020 (ST1 2020) yang memaparkan statistik tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran yang diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB).

Dalam pada itu katanya, kajian itu juga mendapati, sebanyak 88.8 peratus responden daripada kategori syarikat sendirian berhad menghadapi cabaran dalam pembayaran gaji pekerja.

Sebaliknya, syarikat hak milik perseorangan pula menyatakan, cabaran utama adalah ketiadaan pelanggan iaitu 70.7 peratus dan diikuti pembayaran gaji pekerja (62.5 peratus).

“Sebanyak 42.5 peratus responden menganggarkan tempoh lebih daripada enam bulan diperlukan bagi syarikat atau firma perniagaan mereka untuk kembali pulih seperti biasa sekiranya COVID-19 berjaya dibendung.

“Manakala 28.7 peratus responden menganggarkan tempoh 4-6 bulan diperlukan. Sebaliknya, 1.9 peratus responden menyatakan syarikat atau firma perniagaan mereka tidak akan pulih dan dijangka terpaksa ditutup,” tegasnya.

Kajian juga mendapati sebanyak 68.9 peratus responden menggunakan simpanan sebagai sumber utama bagi menampung kos operasi kerja sepanjang PKP, diikuti 19.8 peratus melalui pinjaman dan 11.3 peratus adalah suntikan modal.

Dua bantuan utama yang diperlukan oleh syarikat atau firma perniagaan adalah bantuan kewangan subsidi daripada kerajaan (83.1 peratus) dan pengurangan cukai syarikat (67.0 peratus).

“Sepanjang PKP yang dijalankan, pelbagai insentif yang telah kerajaan berikan antaranya tambahan dana RM10 bilion, khusus untuk membantu meringankan beban kewangan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS), serta perusahaan mikro.

“Ianya adalah langkah PRIHATIN Tambahan yang radikal dan mampu merangsang industri PKS di negara ini selain menghidupkan kembali ekonomi negara pada masa kini,” katanya

Katanya lagi, sebanyak 52.1 peratus syarikat juga menyatakan PRIHATIN dapat meringankan beban mereka.