Hampir separuh daripada 56,217 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) akan menerima pembayaran dividen bulanan berbanding tiga kali setahun sebelum ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata cadangan itu masih di peringkat akhir kajian dan dijangka dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada peserta yang mengusahakan keluasan tanah lebih daripada satu hektar sahaja.

"Seramai lebih-kurang 50 peratus atau 56,217 orang peserta yang mengusahakan tanah kurang daripada satu hektar menerima sekitar RM300 tiga kali setahun. Mereka ini tidak praktikal untuk menerima dividen bulanan kerana amaunnya kecil iaitu tidak sampai RM100 sebulan.

"Tetapi bagi (kumpulan) yang selebihnya, kajian kini diperingkat akhir dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Ahmad Jazlan berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Paya Besar (BN ) Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang mahu maklumat berkenaan perlaksanaan dividen setiap bulan kepada peserta Felcra.

Ahmad Jazlan berkata jumlah peserta Felcra kini seramai 110,056 orang, melibatkan pengusahaan 533,000 hektar kawasan pembangunan di seluruh negara.

Sebelum ini, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek perintis bagi melihat perlaksanaan dividen secara bulanan telah dibuat di beberapa kampung sejak setahun lalu.