Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan bersetuju dengan pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai dengan mengambil kira ia sebagai kaedah mendidik dan bukannya menghukum.

Bahkan menurut Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, hukuman rotan ke atas kesalahan zina, mukadimmah zina, meminum minuman keras, bersubahat dan liwat mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan sudah lama dilaksanakan sejak tahun 1987 dalam penjara.

Justeru, tidak timbul isu jika hukuman ini dilaksanakan di khalayak umum kerana hukuman rotan sudah lama dijalankan ke atas pesalah syariah di dalam penjara yang disaksikan pegawai agama dan penjara.

Hukuman sebat di khalayak ramai mengikut hukum syariah Islam tidak menyakitkan atau menganiaya pesalah kerana ianya berbentuk didikan.

"Ia menepati kehendak Islam dan Al-Quran, kena bagi saksi kesalahan. Ini supaya mendapat keinsafan tidak merupakan satu penyeksaan, sebatan sivil lagi tidak wajar dengan cara berat sangat menyeksa, kita doktor ada sama, tempat itu mahkamah tengok perkarangan masjid dan sebagainya mana-mana tempat yang munasabah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, orang bukan islam diminta tidak bimbang mengenai pelaksanaan sebat di khalayak ramai kerana ia hanya terpakai kepada umat Islam.

Justeru tiada alasan untuk tidak bersetuju dengan pelaksanaan itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lain membolehkan pesalah syariah disebat di khalayak ramai selain meningkatkan denda dan tempoh penjara.