Dalam kegawatan emosi, suspek utama dalam kes tetak hingga maut di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, Kedah, diceritakan sempat menunaikan solat Maghrib sebelum menetak dua beradik berusia lima dan setahun dalam satu kejadian pada Selasa malam.

Salah seorang penduduk kampung, Omar Bakar, 53, memberitahu pada hari kejadian, suspek telah bergegas ke surau untuk menemuinya.

Dalam pertemuan itu, suspek hanya memaklumkan bahawa dia tertekan selepas bercerai dengan isterinya, bagaimanapun Omar menyuruh suspek mengambil wuduk dan menunaikan solat Maghrib.

Sebaik selesai bersolat, suspek telah keluar dan dan terus menghilangkan diri sehinggalah Omar mengetahui kejadian amuk di rumah mangsa pada lewat malam itu.

BACA: 'Anak hang dah selamat mandi darah' jeritan akhir pembunuh kejam dua beradik

Tambah Omar, suspek sememangnya dikenali sebagai seorang yang panas baran dan seringkali mendatangkan ancaman kepada penduduk kampung.

“Dia jenis kuat naik angin, tapi dengan saya dia boleh bercakap elok tapi saya tak sangka dia jadi macam ini.

“Dia ada ajak saya nak jumpa Mat Deris (bapa mangsa) untuk minta maaf dua hari lepas sebab dia kata ada buat salah,” cerita Omar.



Dalam masa yang sama, seorang lagi penduduk kampung Mohammad Shukri Halim, 39, berkata beliau dipukul suspek pada malam yang sama sebelum kejadian tetak berkenaan.

Dalam kejadian itu suspek yang memegang kayu telah bertindak memukul di bahagian kepalanya.

Namun, mujur beliau memakai topi keledar dan terus memecut motosikalnya lari daripada suspek.

“Saya berhentikan motor saya kerana ingat dia (suspek) nak lintas jalan, dia kemudian terus datang kepada saya dan terus memukul saya,” jelasnya.

Suspek berusia 49 tahun itu kini direman seminggu selepas melakukan amukan sehingga membunuh dua kanak-kanak tersebut.

Suspek kini berhadapan dengan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan seterusnya berhadapan hukuman gantung.