Sebuah sekolah rendah ditutup manakala sebuah rumah panjang dinaiki air setinggi satu meter akibat banjir setelah hujan lebat turun sejak 2 pagi ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Bomba Miri Law Poh Kiong berkata laporan awal setakat 9 pagi ini mendapati Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Ajai di daerah Bakong ditutup setelah paras air mencecah 1.5 meter manakala Rumah Panjang Lepong Ajai turut terjejas apabila ruang tamu serta dapur dimasuki air.

"Satu kejadian tanah runtuh turut dilaporkan setakat ini iaitu di Batu 6 Jalan Miri-Bintulu," katanya di sini hari ini sambil menambah banjir kilat turut melanda beberapa perkampungan serta taman perumahan di bandar raya ini.

Katanya setakat ini kawasan terjejas banjir kilat ialah perumahan Taman Tunku, Kampung Pujut Padang Kerbau dan Kem PLKN Sungai Rait.

Beliau berkata pasukan bomba dan penyelamat kini sedang meronda serta memantau tahap keselamatan di kawasan rendah.

-- BERNAMA