Sebulan selepas kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah memutuskan untuk menubuhkan satu inisiatif "pembeli misteri"

"Pembeli misteri", yang dianggotai pegawai-pegawai Jabatan Kastam akan meneliti aduan orang ramai mengenai rejim cukai yang baru.

Menurut Pengarah Kastam GST, Datuk Subromaniam Tholasy, operasi ini akan melibatkan kira-kira 3,000 pegawai kastam.

"Sekarang merupakan masa untuk menguatkuasakan undang-undang, tempoh untuk memberi teguran sudah berakhir" katanya kepada Astro AWANI dalam satu temu bual telefon.

Beliau berkata, pegawai-pegawainya akan melakukan penyamaran untuk melakukan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap penjual yang melanggar peraturan GST.

“Jika peniaga didapati melanggar undang – undang GST, maka tindakan akan diambil terhadap mereka," tegas Subromaniam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek juga menyatakan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang cuba sabotag pelaksanaan GST.

Sebelum ini, Subromaniam berkata sejak pelaksanaan GST, sebanyak 5,000 aduan telah diterima oleh jabatan itu dan kebanyakannya mengenai perbezaan harga produk dan kenaikan harga.