Pengarah Kastam Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Datuk Subromaniam Tholasy berkata perbezaan harga produk di pasaran berpunca dari beberapa peniaga yang enggan menuntut bayaran balik khas.

Difahamkan, beberapa peniaga yang tidak mahu menuntut bayaran balik khas dari Jabatan Kastam bertindak menolak beban GST mereka kepada pelanggan.

Peniaga berkenaan kemudian mengenakan cukai sebanyak 16 peratus ke atas produk yang secara tidak langsung menyebabkan kepada kenaikan harga.

"Perbezaan harga adalah disebabkan oleh beberapa peniaga yang tidak mahu menuntut bayaran balik khas," katanya dalam satu temu bual telefon dengan Astro AWANI.

"Walaupun proses ini agak senang untuk dilakukan, tetapi oleh kerana mereka perlu membayar juruaudit untuk melakukan pengesahan stok jadi mereka mengambil jalan mudah dengan tidak menuntut bayaran balik khas" jelas Subromaniam.

"Jadi, apa yang berlaku ialah peniaga mengenakan cukai GST 6 peratus selain cukai jualan kepada pembeli dan beban cukai pembeli digandakan kepada 16 peratus.

Bagaimapun, Subromaniam berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang ingkar dengan peraturan GST.