Mahkamah Majistret Sepang menetapkan 30 Mei depan sebagai sebutan semula kes dua warga asing yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Keputusan dibuat Hakim, Harith Sham Mohamed Yasin selepas pihak pendakwaan memohon tempoh sebulan setengah bagi mengumpulkan bukti-bukti.

Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam, hadir di mahkamah, asing-masing berpakaian baju T berwarna merah dan baju T berwarna biru.

Turut hadir ke mahkamah, adalah pihak kedutaan Indonesia dan Vietnam.

Pihak pendakwaraya, Muhamad Iskandar Ahmad berkata, penangguhan itu juga membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan dokumen dari beberapa jabatan terlibat.

Kata beliau, pihaknya juga masih menunggu permintaan-permintaan berkaitan dari pihak pembelaan.

Siti Aisyah diwakili peguam, Gooi Soon Seng, manakala Thi Huong diwakili Hisham Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh.

Pada 1 Mac lalu, Siti Aisyah dan Doan Thi Huong, dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Jong Nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada kira-kira 9 pagi, 13 Febuari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 13 Febuari lalu, Jong Nam dibunuh di KLIA2 ketika menunggu penerbangan ke Macau.

Dia dihampiri dua wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX.

Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.