Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 26 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes dua warganegara Indonesia dan seorang rakyat tempatan menghadapi pertuduhan cuba menyertai perjuangan kumpulan pengganas di Filipina.

Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Kalthom Abd Samad menetapkan tarikh sebutan semula itu selepas menerima pemohonan daripada pihak pendakwa raya bagi menunggu laporan lengkap daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faisal Mohd Noor manakala dua tertuduh warganegara Indonesia, Faisal Abu Bakar, 24, dan Ali Misron, 38, diwakili peguam mereka, Farazwin Haxdy yang dilantik Konsulat Indonesia di Kota Kinabalu sementara Nor Azmi Zahyi, 48, tidak diwakili peguam.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan Akta 574 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan didenda.

Faisal dan Nor Azmi ditahan pada 15 Jun lepas, pada 12.20 tengah hari di hadapan sebuah kedai di Jalan 3 di sini selepas didapati dengan niat hendak pergi ke Filipina menerusi Malaysia bagi maksud persediaan melakukan perbuatan pengganas.

Faisal juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) kerana memiliki tiga bilah pisau sepanjang 27.3 sentimeter ketika ditahan.

Ali ditahan pada pukul 6.15 petang di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Sandakan, pada hari yang sama dan turut berdepan tuduhan di bawah Seksyen 130B (1) (a) Kanun Keseksaan kerana memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan Kumpulan Pengganas Islamic State (IS) pada telefon bimbitnya.

-- BERNAMA