Parti Warisan Sabah (Warisan) sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jika ia tiba-tiba diumumkan akan diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi Tetap Warisan, Datuk Liew Vui Keong berkata, pihaknya juga yakin boleh mengekalkan kerusi-kerusi yang dipegang Warisan ketika ini.

Menurutnya yang juga bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, persediaan juga telah dibuat di kawasan beliau sendiri, iaitu di Parlimen Batu Sapi.

"Kita di negeri Sabah ini memang sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU ke-15 nanti.

"Saya rasa PRU hanya melibatkan Parlimen sahaja, maka negeri Sabah mungkin masih boleh untuk tidak mengadakan PRU sehingga tamatnya penggal ini.

"Kita sentiasa bersedia. Bagi saya di Batu Sapi, tidak ada masalah. Saya dapat lihat juga, pada keseluruhannya, anggota kita telah pun menjalankan tugas-tugasan mereka," katanya.

BACA: Dewan Rakyat terima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

BACA: Tun Mahathir tetap teruskan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Menurut Liew, kemungkinan berlaku PRU dalam masa terdekat tidak boleh dipandang ringan kerana usul Tun Dr Mahathir Mohamad masih dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Pada 13 Julai ini kita akan ada persidangan seterusnya, yang telah pun ditentukan. Dan buat setakat ini, kita belum tahu lagi apa yang akan berlaku kepada usul daripada Yang Berhormat (YB) Langkawi (Dr Mahathir).

"Usul daripada YB Langkawi masih lagi dalam aturan acara mesyuarat, di mana dia telah pun membawa usul untuk mengatakan tidak ada keyakinan kepada YB Pagoh sebagai Perdana Menteri, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jadi, usul itu masih lagi relevan, masih lagi hidup. Kita kena tunggu pada 13 Julai nantilah, tengok apa yang akan berlaku kepada usul itu," katanya.

Terdahulu, pelbagai ura-ura timbul mengatakan PRU bakal berlaku dalam masa terdekat ini.